Alhamdulillah usai Ramadhan pastinya dirindui walaupun Syawal sudah berlalu pergi semalam namun laporan ini baru menyusul di sesawang ini. Syukur kita panjatkan pada Illahi di atas limpah kurnia dan segala nikmat yang dicurahkan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini kita berjaya menghimpunkan semua warga pelajar Islam untuk sama- sama berbuka puasa setiap hari sepanjang Ramadhan. Dengan kerjasama dan kekuatan kewangan Persatuan Pelajar Islam dan pihak IPGM Kampus Rajang sendiri khususnya Jabatan Pendidikan Islam dan Moral serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar maka kita berjaya menyediakan juadah berbuka setiap hari.
Pada minggu terakhir Ramadhan kita telah mengadakan kemuncak Iftar Jamaie dengan program berbuka puasa, tadarus Al Quran dan Qiyamulail. Alhamdulillah dengan peruntukan yang ada, semua warga Islam di IPGM Kampus Rajang bersama- sama dengan Penaung Masjid At-Taqwa dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid hadir memeriahkan majlis bersama dengan ahli keluarga tercinta. Bermula dengan selawat marhaban kemudiannya berbuka puasa dan solat maghrib diikuti oleh pengisian antara maghrib dan isyak dan terawih seterusnya Majlis Khatamal Al-Quran. Alhamdulillah, Ramadhan kali ini 4 kali muslimin dan muslimat khatamal Al Quran dan dimeriahkan lagi dengan Program Qiyamulail sepanjang minggu akhir Ramadhan.
Sesungguhnya, Ramadhan ini akan menjadi kenangan kita bersama dengan Yang Berbahagia Tuan Timbalan Pengarah, Encik Mohamad Rahmat Bin Mat Yassin kerana inilah Ramadhan terakhir beliau di bumi Rajang dan di Masjid At Taqwa sebelum berpindah ke IPGM Kampus Tun Hussein Onn Johor.
Syabas dan tahniah serta jutaan penghargaan kepada semua kumpulan pengajian serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid At Taqwa IPGM Kampus Rajang di atas curahan tenaga menjayakan majlis iftar jamaie kali ini. Moga Allah menjadikan amalan kita sebagai ibadah di akhirat kelak, insya Allah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid
Exco Kerohanian, Kepimpinan dan Pembangunan Insan Guru
No response to “Iftar Jamaie Ramadhan 1430 Hijrah”
Catat Ulasan