KUALA LUMPUR 31 Julai - Jenayah membabitkan pelajar bukanlah sesuatu yang baru namun bilangannya saban tahun menunjukkan peningkatan.
Buktinya tahun lalu sahaja, seramai 8,809 pelajar berusia antara 7 dan 18 tahun ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kes-kes jenayah.
Daripada jumlah itu, 3,683 terlibat dalam jenayah kekerasan manakala selebihnya jenayah harta benda.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, remaja berusia 16 hingga 18 tahun mendahului senarai dengan 6,435 tangkapan, diikuti pelajar berusia 13 hingga 15 tahun (2,227 tangkapan).
Tidak kurang hebatnya, kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun turut termasuk dalam senarai itu dengan 147 tangkapan.
Pelajar daripada kaum Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 72.7 peratus atau 6,401 orang diikuti India (10 peratus atau 876 orang) dan Cina (7.3 peratus atau 641 orang).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, pihaknya memandang serius statistik tersebut dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya.
Bagaimanapun katanya, masalah juvenil di Malaysia masih terkawal.
Katanya, polis bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran dan menempatkan seorang polis sebagai pegawai perhubungan di sekolah-sekolah.
''Kita akan mendekati sekolah. Pegawai polis inilah yang akan membantu mendapatkan maklumat risikan termasuk perkara berkaitan kegiatan samseng.
''Kita juga akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan masalah pelajar,'' ujar beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain pegawai di sekolah, beliau berkata, mereka juga akan dibantu oleh unit khas di Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Bukit Aman khusus untuk menangani gejala samseng.
Mengulas lanjut Mohd. Bakri berkata, tindakan itu mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan ibu bapa yang menganggap sekolah berkenaan bermasalah.
''Ini semua hanyalah mitos semata-mata. Kami adalah rakan masyarakat. Kami bertujuan baik bagi memastikan anak-anak mereka selamat,'' katanya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangka rancangan jangka panjang menangani perkara itu dengan menggalakkan para pelajar menyertai persatuan pencegah jenayah di peringkat sekolah selain Kor Kadet Polis.
''Dengan penyertaan pelajar-pelajar dalam aktiviti seumpama ini, ia dapat menyemai budaya benci kepada jenayah,'' ujar beliau.
No response to “::8809 Kes Juvenil 2008::”
Catat Ulasan