Salam Hijrah 1431 Ikhwah Sekalian
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Moga antum semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat hatta dalam kepanjangan cuti semester ini. Seringkali kita terlepas peluang untuk menyambut tahun baru Hijrah ini bersama di surau kampus namun ia bukanlah penghalang untuk kita terus mengimarahkan sambutan Hijrah ini.
Saban tahun umat Islam menyambut tahun baru Hijrah dengan mengimarahkan masjid dalam suasana yang meriah, dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, sesudah itu bacaan doa awal tahun dan tazkirah mahupun ceramah berkaitan kisah Hijrah. Setiap tahun itu jugalah kita diulangkan dengan kisah rumah Rasulullah dikepung, saidina Ali tidur di katil Rasulullah dan Abu Bakar menemai perjalanan Rasulullah ke Yathrib (Madinah). Namun mengapakah masih ramai dalam kalangan umat Islam yang masih di takuk yang lama?
Mengapakah umat Islam masih berada pada tahap seperti hari ini? Kita terus dijajah dan dikuasai oleh Barat dan bukan Islam. Ini berlaku kerana kita tidak sedar akan pada apa yang kita lakukan. Ketahuilah, umat Islam hari ini belum sedar tentang apa yang mereka kerjakan. Mereka belum sedar tentang diri mereka (makrifatul insane) belum sedar tentang Islam (makrifatul Islam) dan belum mengenali akan Allah (makrifatullah). Maka ia menjadi punca utama kelemahan dan ketewasan serta kemunduran kita pada hari ini.
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani. (An-Nisaa:100)
Sementara itu, peristiwa hijrah juga mengembalikan ingatan kita kepada salah satu hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan peristiwa ini. Hadis riwayat Umar itu membawa maksud, “Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu apa yang diniatkannya, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia bakal mendapat balasan daripada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa pula yang berhijrah kerana mencari kepentingan dunia atau kerana perumpuan yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa yang diniatkan itu (serta dia tidak akan mendapat balasan baik oleh Allah).” (hadis Shahih, riwayat Bukhari dan Muslim)
Ingatlah wahai ikhwah sekalian, Jawatankuasa Persatuan Pelajar Islam adalah mereka yang bertanggungjawab dalam menggerakkan usaha dakwah dan menyuburkan fikrah Islam dalam komuniti di kampus kita. Maka sokongan dan penyertaan semua ikhwah dan warga adalah diharapkan dalam memastikan syiar Islam itu wujud dan nyata. Janganlah ianya hanya wujud tapi tidak nyata.
Jika antum masih lagi di takuk yang lama, malas solat, malas berjemaah, meninggalkan segala perintah Allah malahan tanpa segan silu melakukan segala larangan Allah maka berhijrah lah segera. Apakah antum masih dahagakan dan terleka dek perhiasan duniawi? Bukankah Allah sudah peringatkan kita bahawa segala yang indah di dunia ini tidaklah seberapa berbanding dengan perhiasan di syurga kelak.
Hidup di dunia harus berusaha mendapatkan redha Allah. Allah mengharamkan bagi hambaNya menyentuh lantai neraka bagi mereka yang berusaha mendapatkan redhoNya. Kita sebagai bakal guru, bakal pendidik dan bakal pembina generasi masa hadapan, wajar memiliki kekuatan akhlak dan kemantapan fikriyah serta rohanian yang utuh agar tidak melahirkan dan mendidik dengan goyah peribadi serta jati diri masyarakat kelak. Apatah lagi untuk membimbing isteri, anak-anak dan keluarga kita sendiri di masa hadapan.
Moga hijrah yang hadir kali ke 1431 ini membawa sinar baru, harapan baru, impian dan memperbetulkan segala matlamat dan bersamalah kita memperbaharui azam yang lalu moga hidup kita matlamatnya kerana Allah, perlembagaannya adalah Al Quran, jalannya adalah sunnah dan qudwahnya adalah Rasulullah, insya Allah.
Salam Hijrah 1431, Harapan Baru Siswa IPGM
Mohd Sufri Bin Yakup
Exco Kerohanian, Kepimpinan dan Pembangunan Insan Guru
IPGM Kampus Rajang Sarawak