Aktiviti Pusat Islam Darul Taqwa

Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil.
Khamis (Maghrib-Isyak)

Halaqah
Ahad (Selepas Zuhur)

Usrah dan Uzlah
Rabu (Maghrib-Isyak)

Ahlan Wa Sahlan

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera warga IPG Kampus Rajang sekalian,

Alhamdulillah kita sudah melangkahkan kaki dengan selamatnya ke kampus kita yang dikenali dengan nama IPG Kampus Rajang mulai saat ini. Wajah sahabat kelihatan berseri- seri menghadiri kuliah dan sesi interaksi bagi meneruskan perjuangan dalam menjadi seorang insan bergelar guru.

Di kesempatan ini, Persatuan Pelajar Islam IPG Kampus Rajang mengucapkan selamat kembali ke kampus dan mengucapkan selamat datang dan kembali ke kampus buat pensyarah kita, Yang Berbahagia al fadhil Ustaz Zamri Rajab dan Ustazah Siti Fatimah yang baru usai dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Moga kehadiran mereka akan menambahkan lagi kekuatan dan menyemarakkan lagi perjuangan kita insya Allah.

Jawatankuasa Pengurusan Surau
IPG Kampus Rajang Sarawak 2010

Warkah PPI IPGM Kampus Rajang sempena tahun Baru Masihi 2010

Assalamualaikum wbt muslimin dan muslimat sahabat sekalian, 

Alhamdulillah hari ini, tahun ini, kita masih diberi nikmat untuk hidup di Bumi Allah ini. 

Hari ini merupakan hari terakhir dalam kalendar 2009 masihi. Esok adalah hari baru dan hari ini akan meninggalkan kita serta tidak akan kembali lagi selama-lamanya. 

Tahniah dan syabas sekiranya sahabat sekalian berjaya menunaikan matlamat dan impian masing-masing di tahun 2009. 

Ayuhlah menjelang tahun 2010 ini, kita sama2 bermuhasabah dan menghisab diri kita sendiri. Apakah masih ada perintah Allah yang tegar untuk kita ikuti? Apakah solat 5 waktu masih juga terkapai-kapai kita mendirikannya? Apakah Ramadhan yang lepas, sudah kita tunaikan sebaiknya puasa fardhu? Apakah tahun ini sudah kita langsaikan zakat harta? Apakah semalam dan hari ini sudah kita berpesan-pesan kepada kebaikkan?

Umar Ibnu Khattab ra. pernah berpesan, ''Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (di hari Kiamat), dan timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang di akhirat kelak. pada hari itu kamu akan dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian sedikitpun.'' Bertambah usia pada hakikatnya adalah berkurangnya umur kita, Mari kita sambut 2010 dengan tekad menjadikan diri kita lebih baik lagi.

Ingatlah sahabat sekalian, di mahsyar kelak segala nikmat dan kesenangan yang kita kecapi waktu ini tidak ada nilai lagi. Saat itu, anggota tubuh badan akan menjadi saksi setiap amal dan tingkah laku kita. Saat itu segala amalan baik dan buruk akan dipertontonkan di hadapan semua manusia. Ingatlah janji Allah itu pasti. 

Allah sudah menyediakan ruang untuk kita sama-sama berpesan-pesan kepada kebaikkan. Maka manfaatkanlah peluang yang ada itu sebaiknya. janganlah menunggu sehingga di azab kelak dan kita diganti dengan kaum yang lain maka barulah kita mahu bertaubat. 

Moga 2010 ini membawa baraqah dan sakinah dalam kehidupan kita. 

Jawatankuasa Persatuan Pelajar Islam
IPGM Kampus Rajang 2009

Hijrah Titik Mula Meraih Kecemerlangan

Hakikatnya, awal Muharram adalah satu tarikh yang sangat bermakna bagi mukmin. Tarikh ini membawa kita kembali menyingkap satu peristiwa agung yang terjadi sekitar 1400 masihi yang lalu. Peristiwa yang ini bukan saja memberikan kenangan termanis dalam hidup mukmin tetapi kenangan termanis juga kepada manusia dan seluruh alamnya.

Kenapakah peristiwa tersebut dikatakan kenangan termanis buat umat manusia dan alam seluruhnya? Ini kerana, apabila berlakunya peristiwa bersejarah ini dunia yang dahulunya kontang dan tandus dari nilai-nilai kebaikan dan kebajikan mula merasai bibit-bibit kerahmatan, kasih sayang serta keadilan yang dinanti-nantikan buat sekian lamanya. Dunia menanti-nantikan peristiwa tersebut. Peristiwa yang akan memberikan impak besar kepada dunia dan sejarah kemanusiaan yang mana melalui peristiwa tersebut rahmat dan keberkatan Allah tersebar ke seluruh alam. Peristiwa yang dimaksudkan adalah peristiwa Hijrah Nabawiyah.

Hijrah di dalam Islam adalah suatu peristiwa yang agung. Syariat Islam, kehebatan, keizzahan, kemurnian, keadilan dan kasih sayang dapat dirasai dengan hakikat yang sebenar selepas berlakunya peristiwa ini. Peristiwa ini meninggalkan bekas yang mendalam didalam hidup mukmin yang inginkan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan dalam erti kata yang sebenar.

 Peristiwa hijrah nabawiyah bukanlah semudah yang kita bayangkan. Pernah digambarkan oleh seorang ulama berkenaan peristiwa hijrah ini dengan katanya, “Hijrah merupakan adik kandung kepada kematian”. Ini menggambarkan kepada kita bahawa kegemilangan tidaklah dicapai dengan mudah bahkan ia menagih 1001 pengorbanan. Sejarah membuktikan bahawa pengorbanan tidak dapat dipisahkan daripada hijrah. Ingin berhijrah, maka perlulah berkorban. Ini sama seperti apa yang telah berlaku ke atas Suhaib bin Sinan ar-Rumy. Beliau meninggalkan seluruh harta benda yang dicintainya semata-mata untuk menyahut dan melaksanakan perintah Rasulallah SAW iaitu berhijrah ke Madinah. Tetapi, pengorbanan tersebut dibalas dengan kejayaan yang tidak ada lagi kejayaan selepas itu. Selepas Rasulullah SAW mengetahui kisah itu baginda bersabda, “Beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib, beruntunglah Suhaib”.  Keuntungan tersebut bukanlah keuntungan yang bersifat meterial dan duniawi, tetapi keuntungan yang bersifat hakiki dan kekal abadi. Keuntungan yang dimaksudkan adalah keuntungan meraih redha Allah SWT. 
Inilah keuntungan yang sebenarnya. Apa lagi yang bakal menandingi redha Allah? Tidak, tidak ada sama sekali. Firman Allah, “Dan redha Allah itulah yang paling besar”. Keredhaan Allah SWT adalah keizinan daripada kerajaan yang memiliki langit dan bumi serta di antara duanya  untuk mendiami syurga-Nya. Firman Allah, “Sesiapa yang dijauhi dan diselamatkan Allah daripada azab neraka, maka mereka itulah golongan yang benar-benar berjaya”. Inilah erti kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan yang sebenar.

Sementara itu, peristiwa hijrah juga mengembalikan ingatan kita kepada salah satu hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan peristiwa ini. Hadis riwayat Umar itu membawa maksud, “Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu apa yang diniatkannya, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia bakal mendapat balasan daripada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa pula yang berhijrah kerana mencari kepentingan dunia atau kerana perumpuan yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa yang diniatkan itu (serta dia tidak akan mendapat balasan baik oleh Allah).” (hadis Shahih, riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini dilafazkan oleh baginda ar-Rasul SAW disebabkan berlakunya peristiwa hijrah. Maka, kita dapat memahami di sini bahawa hijrah yang dilakukan perlulah disertai dengan niat yang baik. Dengan adanya niat yang baik tersebut diganding pula dengan pengorbanan maka pasti akan mencapai kecemerlangan.

Kesimpulannya, peristiwa hijrah yang dipaparkan tadi adalah satu petunjuk dan panduan daripada Allah SWT kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan di sisi Allah SWT. Biarpun peristiwa hijrah ini telah berlaku tetapi pengajarannya masih dan akan terus kekal didalam jiwa mukmin. Akhirnya, bagi menyahut seruan hijrah pada kali ini marilah kita menanam atau memperbaharui azam kita dan moga-moga dengan niat yang baik ini Allah SWT mempermudahkan perjalanan kehidupan kita menuju keredhaan dan syurga Allah SWT.

Warkah Hijrah 1431H

Salam Hijrah 1431 Ikhwah Sekalian

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Moga antum semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat hatta dalam kepanjangan cuti semester ini. Seringkali kita terlepas peluang untuk menyambut tahun baru Hijrah ini bersama di surau kampus namun ia bukanlah penghalang untuk kita terus mengimarahkan sambutan Hijrah ini.

Saban tahun umat Islam menyambut tahun baru Hijrah dengan mengimarahkan masjid dalam suasana yang meriah, dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, sesudah itu bacaan doa awal tahun dan tazkirah mahupun ceramah berkaitan kisah Hijrah. Setiap tahun itu jugalah kita diulangkan dengan kisah rumah Rasulullah dikepung, saidina Ali tidur di katil Rasulullah dan Abu Bakar menemai perjalanan Rasulullah ke Yathrib (Madinah). Namun mengapakah masih ramai dalam kalangan umat Islam yang masih di takuk yang lama?

Mengapakah umat Islam masih berada pada tahap seperti hari ini? Kita terus dijajah dan dikuasai oleh Barat dan bukan Islam. Ini berlaku kerana kita tidak sedar akan pada apa yang kita lakukan. Ketahuilah, umat Islam hari ini belum sedar tentang apa yang mereka kerjakan. Mereka belum sedar tentang diri mereka (makrifatul insane) belum sedar tentang Islam (makrifatul Islam) dan belum mengenali akan Allah (makrifatullah). Maka ia menjadi punca utama kelemahan dan ketewasan serta kemunduran kita pada hari ini.

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.   (An-Nisaa:100)

Sementara itu, peristiwa hijrah juga mengembalikan ingatan kita kepada salah satu hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan peristiwa ini. Hadis riwayat Umar itu membawa maksud, “Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap manusia itu apa yang diniatkannya, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka dia bakal mendapat balasan daripada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa pula yang berhijrah kerana mencari kepentingan dunia atau kerana perumpuan yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa yang diniatkan itu (serta dia tidak akan mendapat balasan baik oleh Allah).” (hadis Shahih, riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah wahai ikhwah sekalian, Jawatankuasa Persatuan Pelajar Islam adalah mereka yang bertanggungjawab dalam menggerakkan usaha dakwah dan menyuburkan fikrah Islam dalam komuniti di kampus kita. Maka sokongan dan penyertaan semua ikhwah dan warga adalah diharapkan dalam memastikan syiar Islam itu wujud dan nyata. Janganlah ianya hanya wujud tapi tidak nyata.

Jika antum masih lagi di takuk yang lama, malas solat, malas berjemaah, meninggalkan segala perintah Allah malahan tanpa segan silu melakukan segala larangan Allah maka berhijrah lah segera. Apakah antum masih dahagakan dan terleka dek perhiasan duniawi? Bukankah Allah sudah peringatkan kita bahawa segala yang indah di dunia ini tidaklah seberapa berbanding dengan perhiasan di syurga kelak.

Hidup di dunia harus berusaha mendapatkan redha Allah. Allah mengharamkan bagi hambaNya menyentuh lantai neraka bagi mereka yang berusaha mendapatkan redhoNya. Kita sebagai bakal guru, bakal pendidik dan bakal pembina generasi masa hadapan, wajar memiliki kekuatan akhlak dan kemantapan fikriyah serta rohanian yang utuh agar tidak melahirkan dan mendidik dengan goyah peribadi serta jati diri masyarakat kelak. Apatah lagi untuk membimbing isteri, anak-anak dan keluarga kita sendiri di masa hadapan.

Moga hijrah yang hadir kali ke 1431 ini membawa sinar baru, harapan baru, impian dan memperbetulkan segala matlamat dan bersamalah kita memperbaharui azam yang lalu moga hidup kita matlamatnya kerana Allah, perlembagaannya adalah Al Quran, jalannya adalah sunnah dan qudwahnya adalah Rasulullah, insya Allah.

Salam Hijrah 1431, Harapan Baru Siswa IPGM
Mohd Sufri Bin Yakup
Exco Kerohanian, Kepimpinan dan Pembangunan Insan Guru
IPGM Kampus Rajang Sarawak

Imtihan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, musim imtihan kini bermula. Buat sahabat seperjuangan di IPTA mahupun di seluruh kampus pendidikan Guru selamat berjuang. Moga usaha selama ini membawa antum ke lembah kejayaan. Kejayaan itu milik mereka yang berusaha dan bertawakal.

Imtihan merupakan satu aktiviti penting dalam calendar pendidikan. Imtihan adalah masanya untuk menguji dan membuat penilaian sejauh mana tahap penguasaan, kefahaman dan kesediaan kita dalam menerima segala ilmu yang telah dipelajari. Benar, imtihan bukanlah segala- galanya tetapi imtihan adalah satu kayu ukur yang paling rasional dan tepat masa ini.
Justeru itu, persediaan awal dengan langkah istiqamah adalah kunci utama dalam mencapai kejayaan. Untuk mendapatkan istiqamah bukanlah mudah. Istiqamah memerlukan kesebaran dan kesungguhan intrinsic yang kuat.

Maka luruskan niat, menuntut ilmu kerana Allah. Tingkatlah usaha dan amalkanlah strategi pembelajaran bersungguh- sungguh dan bijaksana. Insya Allah kejayaan datang menderpa.
Sedikit peringatan bersama, luruskan niat. Ilmu yang dituntut harus menjadi 3 perkara pokok yakni mendekatkan diri pada Allah, membekas pada akhlak dan jati diri serta boleh disampaikan pada orang lain.

Dr Yusuf al-Qaradawi pula menyebut:
Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was”

MOHD SUFRI BIN YAKUP
EXCO KEROHANIAN, KEPIMPINAN DAN PEMBANGUNAN INSAN GURU
JPP IPGM KAMPUS RAJANG 2009/2010

Menghadapi Kursus Pra Perkahwinan

Bismillahirrahmanirrahim

Perkahwinan adalah menjadi impian setiap insan manusia. Sebelum ianya menjadi rialiti, perlulah kepada bakal pengantin, baik lelaki atau perempuan mengikuti kursus yang dinamakan kursus pra-perkahwinan sebagai kunci bagi permulaan membangunkan rumah tangga yang bahagia insyaallah.

Sekadar perkongsian daripada kursus pra-perkahwinan untuk bakal-bakal pengantin baru, saya kongsikan beberapa tip yang barang kali dapat memberi gambaran dan membantu anda mengikuti kursus tersebut, insyaallah. antara perkara yang diselitkan dalam kursus tersebut adalah seperti berikut,

tahapperkahwinan

20 MASALAH DALAM RUMAH TANGGA

1. Tidak melaksanakan taggungjawab terhadap rumahtangga

2. Mempunyai tabiat yang tidak disukai oleh pasangan

3. Tidakdapat mewujudkan perhubungan yang mesra

4. Campurtangan keluarga asal masing-masing dalam pengurusan rumah tangga

5. Merasa terkongkong, tiada kebebasan dan sukar menyesuaikan diri dengan keadaan baru

6. Beban kewangan yang bertambah dan tiada persetujuan tentang cara perbelanjaan dan penggunaan kewangan

7. Cara komunikasi dan kesefahaman yang tidak berkesan

8. Tidak faham dengan masalah yang dihadapi

9. Cara penyelesaian yang berbeza dan tidak berkesan

10. Tidak ada peningkatan kemajuan dan perubahan diri

11. Mempunyai masalah seksual dan tidak mendapat kepuasan seks

12. Tidak dapat berkerjasama dengan pasangan kerana perbezaan latar belakang keluarga serta taraf pendidikan

13. Tidak memberi keutamaan kepada keluarga sendiri sebaliknya memberi tumpuan kepada perhungan luar

14. cara Pendidikan anak yang berbeza

15. Tidakmemujuk dan mengambil hati pasangan jika merajuk

16. Mengikut apa sahaja kehendak pasangan

17. Melakukan penyelewengan dan maksiat

18. Perbezaan pendapat mengenai pandangan hidup dan nilai-nilai murni

19. Gangguan dan pengaruh luar seperti jiran dan kawan-kawan

20. Tidak mempunyai sifat keimanan yang seharusnya dan tidak mengetahui ajaran agama yang sebenarnya.

10 CARA MENGATASI KRISIS RUMAH TANGGA UNTUK ISTERI

1. Hayati erti cinta dan kasih sayang yang sebenarnya

2. Kenalpasti keperluan suami dan berusaha memenuhinya

3. berikanlah pujian dan penghargaan tanpa meminta anda disanjungi dan dihargai

4. Buangkan sifat cemburu buta

5. Jangan menggunkan kritikan, serangan dan ugutan jika ingin mengubah sifat suami

6. Hilangkan perasaan bangga diri dan sombong

7. Layanlah suami dengan penuh kemesraan dan kasih sayang

8. Tinggalkan pergantungan pada ibubapa dan suamilah tempat anda mengadu sekarang ini.

9. Rajinlah berbincang bersama suami anda cara-cara mendidik anda dengan sempurna

10. Berdoalah agar sentiasa berada dalam kesabaran dan keimanan.

10 CARA MENGATASI KRISIS RUMAH TANGGA UNTUK SUAMI

1. Tunaikan tanggungjawab dan peranan yang sebenarnya kepada isteri

2. Layanlah isteri dengan baik dan lembut

3. Hindarilah kritikan, sindiran, ugutan dan kekerasan terhadap isteri

4. Berikan pujian dan penghargaan kepada isteri

5. Keraplah berkerjasama dengan isteri untuk memajukan dan meningkatkan kerukunan rumahtangga.

6. Bawalah berbincang dengan isteri jika suami mempunyai masalah walaupun masalah itu kecil

7. berikan isteri peasaan aman, tenteram, selesa dan selamat.

8. Memahami perubahan hati nurani isteri seperti sedih, kecewa dan sebagainya.

9. Tingkatkan hubungan seksual agar isteri mendapat kepuasan yang diharapkan.

10. Jangan membohongi isteri kerana isteri akan merasa dipermainkan jika mengetahui dirinya dibohongi.


Dipetik dari blog Ustaz Khairi, mantan pelajar J-Qaf IPGM Kampus Rajang kini mengajar di SK Gemuan Bintangor. Beliau boleh dihubungi menerusi blognya khairionline.wordpress.com

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2009

Alhamdulillah tanggal 19 Syawal yang lalu, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Persatuan Pelajar Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar mengadakan majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Dewan Sri Rajang.

Sambutan begitu meriah dengan kehadiran Yang Berbahagia Tuan Pengarah, Encik Nicholas Ugul dan Tuan Timbalan Pengarah, Encik Mohamad Rahmat bin Mat Yassin. Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Shoutul Rajang yang mendendangkan 3 buah lagu.

Juadah yang disediakan hasil peruntukan Persatuan Pelajar Islam sendiri seperti ketupat, rending, kari, mee dan banyak lagi. Kemeriahan tersebut jelas tergambar di wajah sekalian warga IPGM Kampus Rajang yang hadir tidak mengira agama, bangsa dan Negara.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid, exco Islam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar serta kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar di atas kerjasama yang diberikan. Jazakallah khairan khatsiro.